Site Loader
Temujanji
fb.com/tsiwealthplanners
fb.com/tsiwealthplanners

Apakah yang dimaksudkan dengan harta pusaka?

Harta pusaka ialah semua harta peninggalan yang dimiliki oleh si mati yang mengandungi harta alih dan harta tak alih.

Apakah yang dimaksudkan dengan harta alih?

Harta alih ialah harta yang selain daripada harta tak alih seperti wang tunai, syer, caruman KWSP, wang imbuhan insurans, kenderaan, perabot rumah, pakaian dan sebagainya.

Apakah yang dimaksudkan dengan harta tak alih?

Harta tak alih ialah tanah serta kepentingan atas tanah tersebut, rumah, lombong, sawah, telaga dan tasik. Bangunan kekal adalah meliputi takrif harta tak alih.

Apakah jenis perancangan harta yang dibenarkan dalam Islam?

  • Wasiat
  • Amanah
  • Hibah
  • Wakaf
  • Sedekah
  • Harta sepencarian

Mengapa perlu perancangan dalam harta pusaka?

Tidak kira umur mahupun nilai harta yang dimiliki, perancangan harta pusaka perlu dilaksanakan untuk:

  • Mengenalpasti ahli keluarga atau waris yang anda ingin bahagikan harta anda kepadanya. Memastikan harta anda dibahagikan kepada ahli keluarga atau waris yang berhak.
  • Dapat mempercepatkan proses pembahagian harta pusaka selepas kematian
  • Mengurangkan jumlah cukai yang perlu dibayar supaya harta anda dapat diberi kepada orang lain selepas kematian anda.
  • Dapat mengurangkan masa dan kos yang berkaitan dengan proses probet
  • Mengelakkan pertelingkahan di antara ahli keluarga atau waris-waris.
  • Mengelakkan waris daripada terbeban dengan hutang yang ditinggalkan

Siapakah yang layak memohon pusaka?

Waris terdekat seperti suami, isteri, bapa, ibu, anak dan lain-lain waris yang boleh mewarisi harta si mati, pemiutang, pemegang gadaian, penerima wasiat, Baitulmal, Penghulu, Pegawai Penempatan, Pemegang Amanah, Penerima Amanah (trustee), Pemegang Surat Kuasa Wakil (Power of Attorney), Amanah Raya Berhad dan pembeli.

Apakah harta atau perkara yang dikategorikan sebagai harta pusaka?

Harta pusaka termasuk:

  • Semua harta yang ditinggalkan oleh si mati yang diperolehi semasa hayatnya secara halal seperti melalui jual beli, mendapat pusaka, melalui hibah, hadiah, sedekah dan melalui wasiat.
  • Sewa yang masih belum dijelaskan kepada si mati.
  • Hutang kepada si mati yang dijelaskan selepas kematian.
  • Dividen/faedah yang tebit daripada harta si mati.
  • Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
  • Barang yang terbit selepas mati seseorang dari usaha si mati semasa hayatnya.

Apakah harta atau perkara yang tidak dikategorikan sebagai harta pusaka?

Harta pusaka tidak termasuk:

  • Harta yang telah diberi, dijual, diwakafkan dan yang dipegang amanah oleh si mati kepada seseorang semasa hayatnya.
  • Khairat kematian
  • Pemberian oleh orang-orang yang menziarahi kematian
  • Faedah kematian/amaun tambahan KWSP
  • Imbuhan, pampasan dan sagu hati
  • Pencen, bayaran-bayaran di bawah Akta Keselamatan Sosial pekerja 1969 PERKESO
  • Harta yang dipinjam

Apakah jenis-jenis harta pusaka?

  • Harta Pusaka Kecil
  • Harta Pusaka Besar (Biasa)
  • Harta Pusaka Ringkas

Apakah yang dimaksudkan dengan “Harta Pusaka Kecil”?

Harta peninggalan si mati tanpa wasiat yang bernilai RM 2,000,000.00 ke bawah. Harta yang berikut adalah dianggap sebagai harta pusaka kecil:

  • Tanah sahaja
  • Tanah dengan rumah
  • Tanah, rumah dan harta alih seperti barang kemas, syer, caruman KWSP simpanan wang, kenderaan bermotor, perabot, pakaian, dsb dan
  • Tanah dan apa-apa jumlah tuntutan di bawah seksyen 7 dan 8 Akta UndangUndang Sivil 1956 [Akta 67].

Apakah yang dimaksudkan dengan “Harta Pusaka Besar (biasa)”?

Harta pusaka biasa bermaksud semua jenis harta peninggalan si mati dengan wasiat atau tanpa wasiat, atau sebahagiannya tanpa wasiat seperti:

  • Harta alih dan harta tak alih yang bernilai RM 2,000,000.00 ke atas kesemuanya;
  • Harta tak alih (tanah) yang bernilai lebih daripada RM 2,000,000.00; dan
  • Harta alih sahaja seperti wang, syer, kenderaan walaupun nilai kesemuanya kurang daripada RM 2,000,000.00.

Apakah yang dimaksudkan dengan “Harta Pusaka Ringkas”?

Harta pusaka yang terdiri daripada harta alih sahaja tanpa wasiat seperti wang tunai, saham, KWSP, ASN ASB, kereta, wang simpanan dan sebagainya. Jumlah nilaiannya tidak melebihi RM 600,000.00. Permohonan untuk penyelesaian dan pembahagian harta pusaka ringkas hendaklah dibuat melalui Pegawai Pentadbir Pusaka atau Pengarah Perbadanan Amanah Raya Berhad.

Terdapat satu peruntukan khas dalam Akta Probet dan Pentadbiran 1959 yang memberi kuasa kepada pegawai pentadbir pusaka atau pemegang Amanah Raya untuk mentadbir dan menyelesaikan harta pusaka ringkas tanpa perlu membuat permohonan Surat Kuasa Tadbir kepada Mahkamah Tinggi Sivil. Pembahagian harta pusaka tersebut dibuat kepada waris-waris yang berhak mengikut kadar tertentu sepertimana yang dinyatakan dalam Sijil Faraid yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah.

Apakah jenis-jenis pembahagian harta dalam Islam?

Jenis-jenis pembahagian harta dalam Islam terbahagi kepada dua iaitu pembahagian harta semasa hidup dan pembahagian harta selepas kematian pemilik harta. Di antara bentuk pembahagian harta semasa hidup adalah:

  • Hibah
  • Wasiat
  • Wakaf
  • Sedekah
  • Nazar

Manakala, pembahagian harta selepas berlaku kematian pula ialah pembahagian harta pusaka yang tertakluk kepada hukum faraid dan waris boleh membahagikan harta pusaka si mati melalui muafakat iaitu mengikut persetujuan daripada semua waris.

Bilakah waktu yang sesuai untuk membuat permohonan pentadbiran harta pusaka si mati?

Permohonan boleh dibuat pada bila-bila masa selepas kematian si mati. Walaubagaimanapun, dinasihatkan permohonan dibuat dengan segera atau sekurangkurangnya dalam tempoh tiga (3) bulan daripada tarikh kematian si mati. Ini bagi mengelakkan berlakunya kemungkinan kematian berlapis atau risiko kehilangan dokumen penting yang akan merumitkan lagi urusan permohonan dan/atau pentadbiran harta pusaka si mati.

Apakah Institusi utama dalam pentadbiran harta pusaka?

Institusi utama dalam pentadbiran harta pusaka ialah:

  • Mahkamah Tinggi
  • Mahkamah Sivil
  • Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG)
  • Amanah Raya Berhad
  • Mahkamah Syariah

Apakah tanggungjawab waris dalam pembahagian harta pusaka?

Waris-waris juga bertanggungjawab dalam pembahagian harta pusaka dengan:

  • Mengenalpasti waris yang berhak
  • Mengambil tahu kadar bahagian masing-masing
  • Mengadakan perbincangan antara waris-waris
  • Tahu semua harta peninggalan si mati
  • Menguruskan urusan pengebumian
  • Melangsaikan hutang si mati
  • Mengenalpasti wasiat si mati
  • Melantik pentadbir harta

Siapakah yang boleh mewarisi harta pusaka si mati?

Penentuan waris-waris akan dilakukan selepas si mati meninggal dunia. Sekiranya si mati adalah seorang Islam, waris-waris yang berhak ialah sebagaimana ditetapkan di bawah Faraid seperti bapa, ibu, isteri, suami, anak lelaki, anak perempuan, cucu lelaki, cucu perempuan dan sebagainya.

Bagi si mati yang bukan beragama Islam, waris-waris yang berhak adalah sebagaimana dinyatakan di bawah Akta Pembahagian 1958 iaitu seperti ibu, bapa, suami, isteri, anakanak dan selainnya.

Apakah hak anak luar nikah terhadap pewarisan harta pusaka?

Anak luar nikah boleh mewarisi harta ibunya tetapi tidak boleh mewarisi harta bapanya.

Bagaimanakah seseorang itu mendapat hak dalam mewarisi harta pusaka?

Seseorang itu memperolehi hak mewarisi harta pusaka sekiranya

  • Mempunyai pertalian darah dengan si mati (Contohnya bapa, ibu, anak lelaki dan anak perempuan)
  • Melalui perkahwinan – Perkahwinan yang sah menurut Islam dan undang-undang
  • Bagi orang Islam sekiranya si mati tidak mempunyai waris, harta si mati akan diserahkan kepada Baitul Mal iaitu sebuah Institusi Islam

Sekiranya anda pewaris harta pusaka, adakah bermaksud anda sudah mewarisi harta tersebut?

Belum lagi. Perwarisan harta pusaka hanya berlaku apabila pemilik harta yang anda berhak mewarisi hartanya meninggal dunia.

Bagaimanakah seseorang waris itu boleh hilang hak mewarisi harta pusaka?

Seseorang waris itu boleh hilang dalam mewarisi harta pusaka sekiranya:

  • Berlainan agama. Menurut Syariah, orang bukan Islam tidak boleh mewarisi daripada orang Islam.
  • Sekiranya seseorang itu menyebabkan kematian si mati sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.

Kesemua waris tinggal berjauhan dari tempat terletaknya harta pusaka si mati, tidak berminat kepada harta pusaka tersebut dan berhasrat untuk menjual harta. Bolehkah ia dilaksanakan?

Waris boleh menjual harta pusaka tersebut walaubagaimanapun Pentadbir Tanah akan mengeluarkan Surat Kuasa Mentadbir terlebih dahulu, dan pentadbir perlu mendapatkan perintah Mahkamah Tinggi untuk kebenaran menjual harta

Bolehkah pembahagian harta pusaka tidak mengikut Faraid atau Akta Pembahagian 1958?

Pembahagian secara muafakat boleh dilaksanakan sekiranya kesemua waris yang berhak bersetuju.

Apakah hukum seseorang itu apabila warisnya meninggal dunia meninggalkan harta yang banyak tetapi tidak disempurnakan harta itu mengikut kaedah syarak?

Apabila seseorang itu meninggal dunia, secara automatik harta yang ditinggalkannya menjadi harta pusaka iaitu menjadi hakmilik waris-waris. Tidak kira sama ada harta itu sedikit atau pun banyak. Adalah berdosa semua waris-waris yang tidak menyelesaikan harta pusaka sama ada tidak menyelesaikannya dengan membuat pembahagian mengikut hukum faraid atau membuat pembahagian harta pusaka itu tanpa mengikut kaedah hukum faraid

Apakah yang dimaksudkan dengan wasiat?

Wasiat ialah pemberian atau sumbangan oleh seseorang kepada orang atau pihak lain setelah dia meninggal dunia sama ada perkataan wasiat itu diucapkan atau tidak.

Apakah hukum wasiat?

Hukum wasiat adalah bergantung kepada keadaan-keadaan tertentu, contohnya seperti berikut:

  • Wajib – jika terdapat tanggungjawab syarie’ yang perlu dilaksanakan seperti zakat dan haji dan dia bimbang harta berkenaan habis jika tidak diwasiatkan. Begitu juga jika berkaitan dengan hutang dan wadiah sekiranya pemilik sebenar tidak dikenali oleh orang lain.
  • Sunat – jika berwasiat untuk ahli keluarga yang memerlukan sedangkan mereka tidak berhak mendapat harta pusaka. Begitu juga berwasiat kepada orang miskin dan untuk tujuan kebajikan pada jalan Allah.
  • Harus – jika berwasiat kepada sahabat handai atau orang kaya yang mana mereka bukan dari golongan yang berilmu dan beramal soleh.
  • Makruh – jika pewasiat seorang yang kurang berada dan mempunyai waris-waris yang ramai serta memerlukan harta.
  • Haram – jika berwasiat kepada perkara yang haram

Siapakah yang patut membuat wasiat?

  • Orang yang berharta
  • Orang yang mempunyai anak angkat
  • Orang yang tiada waris
  • Orang yang tidak berkahwin
  • Orang yang berhutang
  • Muallaf

Berapakah kadar harta yang boleh diwasiatkan?

Kadar harta yang boleh diwasiatkan adalah setakat 1/3 sahaja daripada harta bersih peninggalannya yang masih ada pada waktu kematiannya setelah digunakan untuk belanja pengebumiannya dan melangsaikan hutang-hutangnya

Bolehkah wasiat melebihi kadar 1/3 harta?

Wasiat yang melebihi kadar 1/3 harta pewasiat adalah tidah sah kecuali waris-waris bersetuju dengan kadar yang lebih itu.

Adakah wasiat boleh dibatalkan?

Ya, wasiat boleh dibatalkan selagi pembuat wasiat masih hidup.

Bagaimanakah wasiat boleh dibatalkan?

Ia boleh dibatalkan sama ada:

  • Pewasiat berkahwin
  • Kemusnahan/kerosakan wasiat
  • Menulis wasiat yang baru
  • Memeluk agama Islam
  • Dengan menandatangani suatu dokumen yang ditandatangani oleh pewasiat dan dua (2) orang saksi menyatakan pembatalan wasiat yang lama

Bagaimanakah sekiranya tidak mempunyai banyak harta untuk diwasiatkan?

Walaupun anda tidak mempunyai banyak harta untuk diwasiatkan pada masa sekarang, menulis wasiat adalah memenuhi aspek yang penting di dalam Islam iaitu mengikut Sunnah seperti apa yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar. Tambahan pula, beberapa tahun kemudian nilai aset atau harta anda akan bertambah. Jika anda mempunyai anak-anak yang masih kecil, anda boleh melantik penjaga bagi harta mereka melalui wasiat.

Apakah perbezaan proses pusaka dengan wasiat dan proses pusaka tanpa wasiat?

Perbezaan pusaka dengan dokumen wasiat kewujudan wasi yang dilantik. Apabila seseorang meninggal dunia tanpa dokumen wasiat, perkara pertama yang perlu dilakukan di dalam pengurusan harta pusaka ialah semua waris perlu bermuafakat untuk melantik pentadbir harta pusaka. biasanya, di sinilah halangan yang sering berlaku. Semua waris-waris perlu muafakat siapa yang akan dilantik sebagi pentadbir dan mereka perlu hadir di dalam perbicaraan pusaka. Jika salah seorang waris tidak bersetujuk dengan pentadbir cadangan, proses selanjutnya tidak dapat dimulakan. Berlainan dengan kes yang mempunyai dokumen wasiat, wasi yang telah dilantik boleh memohon memulakan proses pentadbiran pusaka.

Bolehkah wasiat kepada waris?

Jumhur ulama’, menyatakan wasiat tidak boleh kepada waris kerana telah mempunyai pembahagian melalui faraid. Namun, jika ingin dilaksanakan juga wasiat tersebut perlu mendapat persetujuan di kalangan waris yang terlibat
Ia sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Tidak harus wasiat kepada waris kecuali diizinkan oleh waris yang lain.” (Riwayat Abu Daud)

Apakah yang dimaksudkan dengan “probet”?

Probet ialah tindakan untuk memperakukan dan mengesahkan sesuatu wasiat yang ditinggalkan oleh si mati. Tujuan probet adalah untuk memberi pengiktirafan kepada sesuatu wasiat yang sah di sisi undang-undang.

Apakah yang dimaksudkan dengan faraid?

Faraid adalah pembahagian harta seorang Islam yang telah meninggal dunia sama ada beliau meninggalkan wasiat atau tidak sebelum kematiannya. Maka harta peninggalannya akan dibahagikan kepada ahli warisnya (seperti anak, isteri, suami, ibu, bapa, dan lain-lain), menurut hukum Islam.

Harta yang dibahagikan kepada ahli waris adalah baki harta yang ditinggalkan setelah ditolak segala pembiayaan pengurusan jenazah, hutang pewaris (zakat, nazar, dan lainlain) dan wasiat yang dibenarkan oleh syarak (tidak melebihi 1/3 dari jumlah harta).

Berapakah nilai bahagian-bahagian faraid kepada waris?

Secara asasnya nilai-nilai bahagian-bahagian tersebut adalah seperti berikut:

  • Bapa – 1/6 daripada nilai harta si mati
  • Ibu – 1/6 daripada nilai harta si mati
  • Isteri – 1/8 daripada nilai harta si mati
  • Suami – 1/4 daripada nilai harta si mati
  • Anak lelaki – 2 daripada baki harta setelah ditolak hak faraid Bapa, Ibu, Suami/Isteri
  • Anak perempuan – 1 daripada baki harta setelah ditolak hak faraid Bapa, Ibu, Suami/Isteri

Mengapa lelaki mendapat lebih banyak bahagian daripada perempuan?

Ia telah ditetapkan dalam al-Quran, 4:11. Walaubagaimanapun, ini tidak ada kaitan dengan siapa yang lebih bernilai di sisi Allah. Ia tidak bermakna perempuan mempunyai kedudukan yang lebih rendah. Allah telah menetapkan bahagian lelaki sekali ganda daripada bahagian perempuan memandangkan lelaki adalah ketua keluarga yang mempunyai tanggungjawab tertentu, antaranya:

  • Bertanggungjawab menanggung nafkah keluarga iaitu isteri dan anak-anak
  • Bertanggungjawab menanggung nafkah ibu bapa yang telah tua dan tidak berkemampuan.
  • Bertanggungjawab menanggung nafkah adik beradik perempuan yang belum berkahwin dan tiada sumber kewangan sendiri sekiranya bapa tidak ada atau tidak berkemampuan.
  • Bertanggungjawab menanggung nafkah anak-anak kepada adik beradik lelaki yang telah meninggal dunia (anak saudara) sehingga mereka dewasa dan boleh berdikari.

Apakah proses yang terlibat dalam permohonan sijil faraid?

Proses kerja yang terlibat ialah:

  1. Mengemukakan permohonan
  2. Terima permohonan
  3. Semak
  4. Jika lengkap terima dan daftar
  5. Siasatan waris dijalankan pada hari pendaftaran atau pada hari lain yang ditetapkan
  6. Apabila siasatan selesai, pengiraan dibuat.
  7. Dapatkan sijil dalam masa 5 hari selepas siasat ahli waris selesai.
  8. Pemberitahuan akan diberi pada hari siasatan selesai

Apakah dokumen yang diperlukan untuk membuat permohonan sijil faraid di Mahkamah Syariah?

  • Borang permohonan yang lengkap
  • Salinan sijil mati si mati atau surat akuan
  • Salinan kad pengenalan waris-waris/sijil kelahiran atau surat akuan
  • Salinan geran harta/buku akuan/penyata
  • Sijil nilainan harta jika ada
  • Wang proses mengikut nilai penuh harta pusaka (RM30.00/RM20.00/RM10.00)

Apakah yang dimaksudkan dengan hibah?

Hibah ialah suatu akad yang mengandungi pemberian milik seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada satu pihak kepada pihak yang lain tanpa balasan semasa hidup secara sukarela, dengan menggunakan lafaz ijab dan qabul atau seumpamanya. Hibah berkuat kuasa semasa hidup pemberi hibah. Harta yang telah dihibah tidak boleh dituntut oleh waris lain.

Mengapa apabila dirujuk dengan bank berkaitan harta pusaka, bank akan selalu meminta untuk merujuk kepada Amanah Raya? Apakah kaitan Amanah Raya dalam urusan harta pusaka si mati?

Amanah Raya merupakan salah satu pihak yang mempunyai bidang kuasa dalam mengeluarkan surat kuasa dan mengendalikan pembahagian harta pusaka. Pada amnya, pihak bank memerlukan surat kuasa iaitu Surat Akuan atau Arahan daripada Amanah Raya sebelum pembayaran dapat dilakukan sama ada secara terus kepada waris atau kepada Amanah Raya sebagai pentadbir harta pusaka.

Siapakah yang boleh memohon surat kuasa mentadbir harta pusaka?

Permohonan boleh dibuat oleh pihak yang berikut:

  • Waris si mati (benefisiari si mati) seperti balu atau duda, anak lelaki atau anak perempuan, ibu atau bapa, adik-beradik dan sebagainya;
  • Pemiutang (creditor) seperti pemberi pinjam wang, bank, koperasi, dan sebagainya;
  • Pihak-pihak pembeli (purchasers) dan pemegang serah hak, pemegang gadaian dan pajakan yang mempunyai kepentingan dalam harta peninggalan si mati;
  • Waris-waris, pemegang amanah, Ketua Pengarah Insolvensi, Amanah Raya Berhad.
  • Pihak Berkuasa seperti Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri dan Baitulmal yang mempunyai kepentingan masing-masing dalam harta pusaka yang berkenaan

Apakah prosedur untuk membuat permohonan probet dan surat kuasa mentadbir?

Bagi harta pusaka dengan wasiat dan harta pusaka yang ditakrifkan sebagai harta pusaka biasa, tindakan hendaklah diambil di Mahkamah Tinggi yang berhampiran dengan alamat tempat tinggal si mati. Mahkamah Tinggi berkuasa untuk mengeluarkan probet. Jika si mati tidak meninggalkan apa-apa wasiat, permohonan untuk surat kuasa mentadbir pusaka tanpa wasiat hendaklah dibuat.

Dari manakah waris boleh mendapatkan surat kuasa mentadbir?

Di Malaysia, terdapat 3 institusi yang mempunyai kuasa mengeluarkan Surat Kuasa Mentadbir iaitu Amanah Raya, Seksyen Pembahagian Pusaka Kecil Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian dan Mahkamah Tinggi Sivil. Ketiga-tiga institusi mempunyai bidang kuasa pengeluaran surat kuasa seperti berikut:

  • Amanah Raya Berhad – Harta pusaka meliputi harta alih bernilai tidak melebihi RM 600,000.00
  • Seksyen Pembahagian Pusaka – Harta pusaka meliputi harta alih dan harta tak alih bernilai tidak melebihi RM 2,000,000.00
  • Mahkamah Tinggi – Harta pusaka meliputi harta alih dan harta tak alih bernilai melebihi RM 2,000,000.00

Walaubagaimanapun, waris boleh melantik Amanah Raya sebagai Pentadbir bagi apa jua jenis dan nilai aset dan Amanah Raya akan menguruskannya sehingga selesai pentadbiran.

Apakah tanggungjawab Penama bagi kes pusaka orang Islam?

Penama dalam pusaka orang Islam bertindak sebagai Wasi atau Pemegang Amanah dan bertanggungjawab untuk membuat pembahagian harta pusaka kepada waris-waris yang berhak mengikut Faraid selepas semua hutang si mati diselesaikan

Siapakah yang anda perlu melantik sebagai Penama dan pemegang amanah?

Sama ada syarikat pemegang amanag atau individu yang berumur 21 tahun ke atas boleh dilantik sebagai Penama

Bagi kes pusaka orang Islam, jika Penama gagal menjalankan tanggungjawab sebagai Wasi dan tidak mengagihkan wang yang diterima kepada waris yang sah, apakah tindakan yang boleh diambil oleh waris-waris tersebut?

Waris-waris boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap Penama untuk menuntut wang tersebut atas kegagalannya menjalankan tanggungjawab sebagai wasi

Sekiranya penerima pencen meninggal dunia, adakah wang pencen yang masih dimasukkan ke dalam akaun si mati dianggap sebagai pusaka?

Wang pencen yang diterima oleh penerima pencen adalah terhenti bermula daripada tarikh kematiannya. Wang pencen yang diterima semasa hayatnya adalah sebahagian daripada harta pusaka dan wang pencen yang diterima selepas kematiannya adalah hak milik kerajaan Malaysia.

Apakah yang dimaksudkan dengan wakaf?

Wakaf ialah menyerahkan harta yang dimiliki untuk kegunaan atau manfaat orang ramai. Wakaf merupakan satu cabang ibadah. Tujuan asas amalan wakaf adalah untuk mendekatkan diri dan mendapat keredhaan Allah S.W.T dengan cara membelanjakan harta ke jalan Allah.

Facebook Comments

Post Author: TSI Editor